Usah menunggu tua untuk bertaubat, beramal salih kerana maut datang tanpa diduga
Alhamdulilah, Malaysian Association Of Marjon dah berjaya organizekan satu kursus jenazah,kursus yang amat penting bagi kita semua sebagai umat islam.Unfortunately, saya tak dapat bersama tapi alhamdulilah ramai yang sudi berkongsi ilmu pabila ditanya.Alhamdulilah Allah swt permudah segala urusan saya untuk 'self-evaluation' diri apabila mengenangkan mati.Minta maaf post yang panjang.>_<
*********************************
Sesungguhnya, kadang-kadang MANUSIA tenggelam dalam kemewahan dunia, dikuasai hawa nafsu dan hidup dibelenggu maksiat bahkan mungkin juga tidak mengingati malaikat maut pasti datang membawa perintah Allah untuk meragut nyawanya.
Jika mengingati mati, pasti kita akan ketakutan atau bersedih kerana mengingatkan apa yang bakal dihadapinya di alam akhirat, tetapi segelintir juga gusar mengenangkan harta bendanya serta segala kemewahan dunia yang bakal ditinggalkannya.
Firman Allah: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali Imran: 185). Ketahuilah kematian pasti tiba kepada seluruh umat tanpa mengenal erti bangsa, kedudukan, kekayaan atau gagah perkasa. Tiada sesiapa pun yang boleh melarikan diri daripada maut. Apabila ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dicepatkan walaupun sesaat. Teringat juga kata-kata housemate di Malaysia apabila saya melengahkan waktu solat.Terang-terangan dia mengatakan yang nanti mati tak boleh pun nak lengah-lengah.Mendalam.
Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetap menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” (Al-Jumu’ah: 8) Dengan mengingati kematian, kita lebih berwaspada dalam menghadapi liku kehidupan dan sentiasa berusaha menurut perintah Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan larangannya kerana kita tidak tahu bila ajal tiba.InsyaAllah.
Mengingati kematian menyebabkan kita teruja membuat persiapan rapi menghadapinya nanti. Oleh itu, Islam amat menganjurkan kita sentiasa mengingati kematian. Persiapan rapi di sini bukanlah seperti meraikan majlis-majlis kebesaran tapi persiapan rapi dari segi amalan kita sendiri.Kerana apabila kita mati, matilah segala ibadah kita.
Jadi,cara terbaik ialah mengenangkan keluarga, sahabat atau sesiapa saja yang boleh mempengaruhi hidup kita. Mereka mungkin memiliki kekayaan, jawatan besar serta disanjung tetapi kini jasadnya bersendirian di dalam kubur. Hartanya, kedudukannya serta sanjungan orang ramai kini terpisah daripadanya. Bila di dunia, kita menumpang hidup di bawah satu bumbung dengan ibu dan ayah tapi bila kita mati,kita akan tetap berseorangan.Jadi,kita perlu serapkan di jiwa iaitu kematian juga pasti menjemput dan akan keseorangan di alam kubur. Teringat kisah Alexander the Great yang dulu amat diagung-agungkan dengan kehebatannya menakluk dunia.Tapi apabila ajalnya sampai, tangan dan kaki dilunjur keluar dari keranda untuk menandakan yang dia datang ke dunia tanpa apa-apa dan pulang juga menghada Tuhan dengan tangan kosong.Sama lah seperti kita, hanya amalan saja yang boleh membantu.
Kita juga perlu menziarahi kubur kerana membantu mengingati kita juga akan menghadapi nasib sama dengan ahli kubur itu. Islam juga menganjurkan kita menziarahi orang sakit serta menghadiri majlis pengebumian kerana dapat mengingatkan kita mengenai kematian. Mengingati kematian membawa nilai positif terhadap insan, maka banyak dalil menganjurkan manusia selalu mengingati kehidupan hanya sementara.
Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya Neraka Jahanam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.[Al-Isra'17:18]Seperti kisah Abu Lahab yang dapat kita ambil iktibar kerana bukan sengaja Allah swt letakkan kisah ini dalam Al-Quran melainkan hanya untuk kita umat masa kini mengambil iktibar dan pelajaran.
Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia. Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya.Dia akan menderita bakaran api Neraka yang marak menjulang.[Surah al-Masad 111:1-3]Rasulullah juga mengkategorikan insan yang sentiasa mengingatkan kematian sebagai manusia paling bijaksana. Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?
“Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)
Mengingati kematian juga boleh mendatangkan ketenangan jiwa ketika seseorang sedang menghadapi kesulitan hidup. Ia menimbulkan kesedaran dunia bukan segala-galanya dan selepas kematian ada alam yang kehidupan serta kenikmatannya abadi [Al Insan 76:17-22]
Bagi mereka yang dianugerahkan kesenangan, maka mengingati kematian menjauhkannya daripada kerlipan serta godaan duniawi.
Kematian menyedarkannya kesenangan duniawi tidak kekal dan dia bakal berpisah dengannya.
Hanya kehidupan di alam akhirat kekal abadi dan ini dapat menggerakkan jiwa untuk mempergunakan segala kesenangan di dunia ini demi mencapai kebahagiaan di akhirat.
Oleh itu, dengan menyedari setiap bernyawa pasti akan menghadapi maut yang hanya diketahui Allah, pasti ia menimbulkan semangat untuk segera melakukan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Jika seseorang menangguhkan untuk melakukan amalan soleh dan ternyata ajalnya tiba ketika asyik melakukan maksiat, dia termasuk orang yang rugi dan bakal mendapat balasan buruk di akhirat.
Justeru, setiap umat Islam harus manfaatkan kehidupannya dengan cara terbaik iaitu mengerjakan amalan yang diperintah Allah dan Rasul-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Ketika tubuh sihat, kita manfaatkan semaksimum mungkin supaya menjadi insan beriman, bertakwa dan gemar mengerjakan amal soleh.
Dari Ali bin Abi Talib r.a. : Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiga golongan dari umatku akan mengisi neraka jahanam selama 7 kali umur dunia. Mereka itu adalah :-
a. Orang yang gemuk tapi kurus
b. Orang yang berpakaian tetapi telanjang
c. Orang yang alim tapi jahil
· Adapun yang gemuk tapi kurus itu ialah wanita yang sihat tubuh badannya tetapi kurang ibadat.
· Orang yang berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama.
· Orang yang alim tapi jahil ialah ulama yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan peribadi.
Mana tahu entah esok mahupun lusa kita ditimpa kecelakaan sehingga terlantar keuzuran dan tidak lagi mampu melakukan amalan yang soleh.
Oleh itu kita pergunakan hayat dengan menghindari perbuatan maksiat kerana mungkin entah esok mahupun lusa malaikat maut mencabut nyawa sedangkan kita masih bergelumang dengan dosa.
Mutiara kata:"Sa'ad bin Hilal berkata:
"Sesungguhnya bagi seorang hamba yang membuat dosa, maka Allah swt akan [masih] memberikan kepadanya empat perkara;
1. rezeki tidak akan dihilangkan darinya
2. kesihatan tidak akan hilang darinya
3. dosa tidak akan ditunjukkan kepadanya
4. seksaan tidak akan didatangkan kepadanya secara cepat"
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau di langit) dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah. Sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.[Ash-Shura 42:30-31]